Pkp356* - Seminggu Berlalu 19 ...

 *Pkp356* - Seminggu Berlalu 19 Feb 2021 dan “Istighfar saya perlu kepada istighfar yang banyak.” 


Assalamu’alaikum...


Selawat dan salam buat Nabi saw dan para ahlinyal. Salam jumaat kepada ahli ahli saya, mak ayah, adik beradik, ipar duai, saudara mara dan sahabat sahabiah. 


Tiba petang nanti, seminggu peristiwa hidup mati semula berlalu, dan sore semalam, saya termenung sendirian di laman hijau rumah, melihat Club 56 Degree tersandar pencen, beberapa butir bola golf terperuk di bawah pokok pokok kecil laman hijau, saya memaksa diri merasai  pada keupayaan yang terbatas, tika kesan dilengan kanan bekas cucukan dawai ANGIO masih jelas. Apa lagi, bila di tanya sang Doktor, berapa hari kah selepas Procedure - Stenting dan Ballon, ujian STRESS boleh di jalankan. Jawapan doktor ialah : “ I WILL NOT STRESS THE PATIENT WITHIN THREE MONTHS!”. Jawapan yang boleh dipersepsikan macam macam. Salah satunya, dia agak geram dengan soalan “berapa hari?”. Maka kena akurlah dengan keadaan. 


Selepas kejadian petang jumaat 19 Feb menjadi saksi si pendosa seperti saya dibiarkan hidup lagi, ianya tidak perlu pada IQ yang tinggi untuk saya membuat perancangan seterusnya dalam menyusun juzuk kehidupan. Salah satunya, peluang  berISTIGHFAR. Tapi awal pagi ini tercari cari pula apakah saya beristighfar sama seperti dulu atau cari kualiti ISTIGHFAR saya.


Dengan itu, seawal pagi ini, saya cuba membongkar hal ini dari nota nota lama dan pengisian pengisian lalu 


*Istighfar kita memerlukan kepada istighfar yang banyak*


“Astaghfirullahal’azhim” - adalah satu ungkapan yang tidak ternilai harganya. Tapi, lumrah pada manusia, kita punya istighfar ada naik turunnya.

 

#Nota Ulamak Suluk.

“Istighfar yang disebut oleh lisan akan memberi faedah dan manfaat kepada orang yang beristighfar jika disertakan dengan rintihan yang hangat dan juga permintaan yang tulus, bersama sikap merendah diri, perasaan mengharapkan keampunan masa hadapan. Memohon pada Allah seperti si fakir pada si Kaya dan rasa diri makhluk yang lemah dan  kerdil. Insya Allah, jika semua perasaan ini tercetus dan berlaku dalam istighfar seseorang, maka tidak wajarlah istighfarnya itu disia siakan. ISTIGHFAR YANG AFDAL 


#Imam Al Ghazali. 

“Istighfar dengan lidah juga dikira sebagai kebaikan sekalipun lidah tersebut menuturkannya tanpa sedar. Ia adalah lebih baik dari percakapan lidah tentang keaiban orang ataupun terlebih cakap.” 


Berapa banyak masa kita terbuang dengan kata kata yang sia sia apalagi kata kata yang berbaur umpatan? Dan hairannya, kita tak pernah rasa risau tentang itu, walaupun tahu mati itu datangnya tiba tiba. 


#Rabii’atul Adawiyyah

“Istighfar kita memerlukan kepada istighfar yang banyak.” 


Pun begitu, jangan sangka  tiada langsung kebaikan pada gerakan lidah kerana berzikrullah. Indeed, yang berdiam diri tanpa istighfar sangat memerlukan kepada dua kali istighfar, bukannya sekali. 


#Sayyidina Umar ra.

“Sesiapa banyak cakapnya, maka banyaklah salahnya. Sesiapa banyak salahnya, sedikitlah sifat malunya. Sesiapa yang sedikit sifat malunya, maka sedikitlah sifat warak nya dan sesiapa sedikit sifat waraknya, maka telah matilah hatinya.” 


Semoga ada manafaat. 


*AKHIR KALAM..*


Jelas, kelebihan beristighfar jika nak dibandingkan duduk diam. Namun, dibandingkan dengan istighfar ada gerak hati, maka kurang nilainya kerna istighfar dengan gerak hatilah yang lebih afdhal. 


“Sesungguhnya Kami tidak mensia siakan pahala orang orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan baik.” (Al Kahfi: 30) 


Hence, permulaan istighfar seseorang hamba sekalipun semata mata gerakan lidah, janganlah dipandang kecil dan sia sia.

 

Pun begitu, kita hendaklah berusaha memburu istighfar yang paling tinggi kualitinya di sisi Allah! Inilah target saya selepas Petang jumaat 19 Feb. In shaa Allah. 


Wallahu a’alam.

Barakallahufikum 

Wassalam.


Pencatat Yang Berdosa,

*NCS*@SeriMinang.

Comments