WA116 - Tafsir SURAH AL AN-BIYA' AYAT 107 & 108...
MUTIARA DARI AL QURAAN
SURAH AL AN-BIYA'
AYAT 107 & 108
Mafhumnya :
107 - DAN TIADALAH KAMI MENGUTUSKAN KAMU (WAHAI MUHAMMAD) MELAINKAN UNTUK MENJADI RAHMAT BAGI SELURUH ALAM.
108 - KATAKANLAH, (WAHAI MUHAMMAD), "SESUNGGUHNYA YANG DIWAHYUKAN KEPADAKU ADALAH : BAHAWASANYA TUHANMU ADALAH TUHAN YANG MAHA ESA, MAKA HENDAKLAH KAMU BERSERAH DIRI KEPADANYA".
**************************
NABI Muhammad S.A.W pembawa Rahmat bagi seluruh alam. Luasnya alam ini yang meliputi beberapa alam yang kita tidak ketahui dan tidak sedar akan kewujudannya. Kita telah berada di Alam Ruh di mana semua ruh telah mengaku beriman kepada Allah apabila Allah bertanya siapkah Tuhan kamu, maka seluruh para ruh telah masing-masing menjawab bahwa Allah Tuhanku. Seluruh para ruh berkumpul menunggu giliran untuk ditiupkan ke dalam jasad sewaktu masih janin berusia empat bulan di dalam rahim ibu. Kemudian setelah di dalam kandungan ibu selama sembilan bulan maka ia dilahirkan maka masuklah ia ke dalam alam dunia pula.
Setelah lahir ke dunia maka kita menjalani kehidupan di alam dunia. Sudah pasti alam dunia ini sangat berbeza dengan dua alam yang telah kita lalui terdahulu iaitu Alam Ruh dan Alam Rahim. Kita tidak dapat nak ceritakan hal bagaimana ketika kita berada di dalam kedua alam itu. Yang pastinya semua orang telah melaluinya. Semua yakin dan percaya dan tidak ada yang menafikannya walau apa bangsa dan agama seseorang itu. Semua kita menyaksikan orang yang selepas kita semuanya lahir dari rahim ibu, tidak ada yang keluar dari pokok buluh atau tumbuh dari bumi. Ada sebaik sahaja dilahirkan terus mati. Ada yang hidup beberapa jam dan beberapa tahun mati ketika usia yang masih muda. Manakala ramai yang lain hidup secara normal dan mati pada usia tua.
Apabila mati maka orang bagi istilah sebagai telah meninggal dunia. Dunia ini yang sebelumnya menjadi tempat kediaman terpaksa ditinggalkan kerana sudah tidak boleh lagi di sini apabila sudah menjadi jenazah kenalah ditanam ke dalam bumi. Berpindahlah pula kita hidup di alam kubur dan dipanggil Alam Barzakh. Suatu alam di mana jasad yang telah mati dan telah berpisah ruh dengan badan waktu berlaku kematian itu menjalani penghidupan. Pada zahirnya kita mati di dunia ini tetapi pada hakikatnya kita hanya berpindah ke alam lain untuk menjalani kehidupan kita menuju kepada beberapa alam yang lain lagi. Dari Alam Barzakh atau Alam Kubur kita akan dibangkitkan semula dan akan berada di Alam Mahsyar, tempat berhimpun seluruh umat manusia yang hidup bermula dari Nabi Adam AS sehingga manusia yang terakhir. Semua akan berhimpun di Alam Mahsyar. Setelah selesai urusan di Alam Mahsyar maka dibawa pula ke Alam Akhirat, iaitu alam yang terakhir dimana masing-masing akan hidup kekal abadi selamanya tidak akan mati lagi. Kehidupan di sana adalah mengikut bekal yang dibawa masing-masing iaitu amalan soleh yang dilakukan semasa hidupnya di dunia dahulu sama ada balasan yang diterima itu penempatannya di SYURGA atau NERAKA.
NABI MUHAMMAD SAW adalah pembawa RAHMAT kepada seluruh alam yang dilalui tadi iaitu dari Alam Ruh kepada Alam Rahim kemudian ke Alam Dunia dan ke Alam Barzakh seterusnya ke Alam Mahsyar dan berakhir di Alam Akhirat sama ada di Syurga atau Neraka. Setiap makhluk Allah akan mendapat Rahmat melalui kedatangannya Rasulullah SAW. Sangat meluas erti Rahmatan Lila'lamin iaitu Rahmat kepada seluruh alam itu. Ia memerlukan kepada pencerahan yang terperinci dan memerlukan kesempatan yang lain untuk menjelaskannya.
Rahmat yang paling besar yang dibawa ialah Islam kerana dengan Islam seluruh makhluk Allah yang hidup di alam ini akan selamat. Bukit bukau dan hutan belantara dan segala jenis haiwan dan unggas serta serangga semuanya akan selamat. Islam mengajar kita supaya bersikap ihsan terhadap semua makhluk Allah. Itulah di antaranya. Wallahu A'lam.
Comments
Post a Comment