*HADITH : DUA ORANG SAUDARA BELAJAR KEPADA NABI ﷺ*

*• Rezeki Orang Yang Menuntut Ilmu*

*عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: كَانَ أَخَوَانِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ أَحَدُهُمَا يَأْتِي النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْآخَرُ يَحْتَرِفُ،*

Daripada Saidina Anas bin Malik رضي الله عنه , ia menceritakan: _“Ada dua orang bersaudara pada masa hayat Nabi ﷺ, maka jadi salah seorang daripada keduanya itu datang belajar dan mengaji pada Nabi ﷺ itu dengan tidak pedulikan hal rezekinya, dan yang seorang lagi itu bekerja mencari rezeki._

*فَشَكَا الْمُحْتَرِفُ أَخَاهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: لَعَلَّكَ تُرْزَقُ بِهِ*

_Bila dilihatnya akan saudaranya itu tidak pedulikan rezeki dan bersenang-senang dan bersuka-ria dengan menuntut ilmu sahaja, maka mengadu saudara bekerja itu akan saudaranya yang mengaji itu kepada Nabi ﷺ seperti dikatanya: Ya Rasulullah, saudaraku ini datang ia kepada engkau bersedap-sedap dengan menuntut ilmu, dan saya seorang dibiarkannya bekerja, maka adakah bagus demikian itu saya berpenat lelah, dan dia seorang bersedap-sedap ilmu. Jawab Rasulullah ﷺ : Tidak apa, tidak apa, tidak apa, pergilah kamu bekerja dan biarkan ia menuntut, mudah-mudahan kamu diberi Allah rezeki dengan sebab saudaramu yang menuntut itu dan dapat pahala besar untuk kamu.”_

HR. Al-Tirmidzi (2345), Al-Hakim (320) dalam al-Mustadrak, Ibnu Abdil Barr (301) dalam Jami’ Bayan al-Ilm wa Fadhl. Abu ‘Isa berkata hadis ini hasan lagi sahih. Al-Hakim berkata hadis ini sahih mengikut syarat Imam Muslim.

*Kosa Kata Hadis :*

*• Suka mendatangi (يَأْتِي النَّبِيَّ) :* Iaitu sering menyertai Nabi ﷺ untuk menuntut ilmu dan belajar hukum-hakam agama (Syariat Islam).

*• Mengadukan (فَشَكَا) :* Iaitu mengkhabarkan kepada Nabi hal ehwal saudaranya yang tidak mahu berusaha.

*Keterangan Hadis :*

    Sungguhnya seseorang itu hendaklah kuat tawakkalnya kepada Allah Ta’ala, dan jangan bergantung harap kepada asbab, hanya datangkan asbab dan bergantung kehendak itu kepada Allah, kerana asbab itu tiada memberi bekas pada mendatangkan apa yang dikehendaki. Bahkan ada kalanya datang yang dikehendaki itu tidak dengan asbab yang didatangkan, seperti datang daripada jalan yang tiada siapa tahu akan dia lebih dahulunya melainkan Allah.

    Misalnya seorang yang menuntut ilmu, di dalam menuntut itu tiada siapa ada ia tempat bergantung rezekinya yang mahu diperbelanjakannya di dalam menuntutnya melainkan Allah, tiada ia bergantung pada ibu bapanya dan neneknya, dan kaum keluarganya dan orang lainnya dan tiada baginya apa hasil yang datang daripada hartanya. Oleh kerana percayanya dan kuat yakinnya kepada Allah yang memberi ia di dalam menuntutnya selama ia menuntut itu jikalau berapa lama sekalipun adalah rezekinya.

[Bahrul Madzi, 16/171].

   Siapa sahaja yang menfokuskan diri dalam menuntut ilmu dan untuk memahami hukum-hakam agama demi menjaga Syariat Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka Dia akan menyediakan untuknya orang yang akan mengurus urusannya dan mencukupi keperluannya.

   Selain itu, hadis ini menggalakkan menolong orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang berusaha menuntut ilmu. Seseorang yang diberi rezeki disebabkan orang yang ditanggungnya disebabkan menuntut ilmu adalah lebih baik. Mubah memberitahukan sesuatu hal keperluan mereka kepada pihak berkuasa (pemimpin atau penguasa kaum Muslimin).

   Keagungan terhadap urusan agama harus lebih sering diterapkan daripada keagungan terhadap urusan dunia. Sebaik-baiknya penuntut ilmu mendapatkan rezeki dari hasil keringat sendiri yang menyebabkan dia terus-menerus menjadi beban orang lain. Walaubagaimanapun, tangan di atas tetap lebih baik daripada tangan di bawah.

  Oleh itu ia tidak menjadi masalah pun, bahkan ia saling lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain. Kurang-kurang kita ada bekal amalan untuk bawa menghadap ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Semoga Allah memberikan kita semua rezeki yang halal lagi barokah lagi toyyibah untuk terus menuntut ilmu dan berbakti kepada ugama-Nya, amiin.

Wallahua’lam. Sollu’alannabi.

-MTS-

https://t.me/skuadpemudaislam

Comments

Popular posts from this blog

☆28_2_1446H Isnin (320-649) 91-46

☆ 27_1_1446H Jumaat (289-618) 60-15

12. Sirah 25 Rasul & Nabi - AYUB A.S