*Pkp104* Syaitan dalam Jiwa. Ya Allah Tolong lah...

Assalamu’alaikum...

Alhamdulillah. Selamat kembali petang semalam ke Seri Minang.

Walaupun jiwa seronok kerana akhirnya pagi semalam dapat berjemaah subuh di Masjid kluang selepas 102 hari tidak berjemaah di masjid atau surau, sehinggakan menitis airmata saat imam masjid membaca kan doa, tapi bila pulang ke sini, ada suatu kekurangan dirasakan. Apa yang kurang? Inilah sesuatu yang hendak kena bangun kan semula dalam jiwa saya. Kena susun iman saya semula agar lebih ikhlas dalam segala perbuatan ibadah saya. Kena kuatkan semangat dalaman ketika menentang bisikan syaitan terutamanya yang rasakan semakin galak berlari dalam jiwa. Inilah dia tugas si syaitan seperti ular berlingkar dalam sarang jiwa, bila kita galak bermaksiat dia akan bangkit menggalakkan kita lagi. Saya kena banyak berdoa, kena banyak baiki hati. Ingat lagi kisah bagaimana syaitan memasuki syurga memujuk adam dan hawa? Si ular lah yang menbawa masuk semula syaitan ke dalam syurga kerana itu elok dibunuh saja si ular jika kita bertemu dengannya.

Yang pasti saya kena kembali perbetulkan hati dan niat saya dalam ibadah saya. Allahuakbar..

Surah al-Zukhruf: Ayat 36-37
“Dan sesiapa yang tidak endahkan pengajaran (al Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu Syaitan itu menjadi teman nya yang tidak renggang darinya. Dan sesungguh nya syaitan itu menghalangi mereka daripada jalan yang benar, sedang mereka sangka bahawa mereka orang yang mendapat hidayah petunjuk”

Berbeza dengan sang lalat, sesunggut dan deria hidu syaitan lebih cepat mengesan bau busuk hati jantung manusia yang sakit. Manusia yang cantik penuh haruman boleh sahaja dihinggap atau dihurung si syaitan apabila bau busuk jiwanya terlepas keluar dan menyentuh radar si syaitan.

Surah Maryam: Ayat 83
“Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan syaitan kepada orang kafir, untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh sungguh?

Dari ayat di atas, mungkin ada yang cuba bermain helah takdir dengan berkata: “Bukan salah saya jika saya jadi jahat. Allah yang menghantar syaitan untuk menghasut saya.”

Jawapannya mudah sahaja, hadir si syaitan yang disebut ayat diatas kata ulamak adalah berpunca dari kegemaran kita yang suka benda kotor! Syaitan umpama lalat! Jika bertemu yang kotor segera lah dihurungnya. Kalau kita tegas menjaga kebersihan fizikal, pasti lalat hilang minatnya. Samalah dengan hurungan si syaitan, jika kita jaga hati jantung daripada segala penyakitnya pasti syaitan tak mampu dekati kita. Syaitan sendiri ngaku betapa dia sangat alah kepada jiwa suci penuh iman dan taqwa.

Surah al-Hijr: Ayat 40 - ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, “Kecuali antara zuriat Adam itu para hamba Mu yang dibersihkan dari sebarang syirik (dan dosa)”

Dalam sejarah manusia, sudah banyak orang yang tersesat jauh setelah dihurung oleh syaitan. Inilah yang sedang saya renungkan tentang nasib diri.

Dalam satu tafsir perkataan al Khannas dalam surah al-Nas, Abdullah ibn ‘Abbas berkata “Syaitan senantiasa mencangkung pada hati anak Adam, bila manusia lupa dan lalai, dia akan membisik kan kejahatan, bila manusia mengingati Allah syaitan akan tenggelam” (Tafsir al Tabari)

*Akhir kalam*

Marilah kita berusaha tenggelam kan syaitan yang mencangkung dalam jiwa kita. Bersihkan hati jantung kita dengan sabun taubat. Semburlah ia dengan semburan pewangi iman dan taqwa. Mudah mudahan semburan itu berfungsi mengusir syaitan dan menarik cinta Allah.

Pesanan dan tulisan ini adalah khas untuk saya, jika bermanafaat untuk tuan puan, Alhamdulillah..

Wallahu’alam
Wassalam

Dari, *Ncs*

Comments

Popular posts from this blog

☆28_2_1446H Isnin (320-649) 91-46

☆ 27_1_1446H Jumaat (289-618) 60-15

12. Sirah 25 Rasul & Nabi - AYUB A.S