PKP222
*Pkp222* - SEKETIKA EMBUN SEDANG MENITIS. Berbaloi lelah mencari Allah..
Assalamu’alaikum...
Bangun seawal pagi dinihari, duduk bersimpuh berteleku di suatu sudut, cuba segerakkan hati dan suasana. Yang pastinya memang berbaloi lelah cari Allah demi akhirat. Tak nampak ketika ini, nampak seketika nanti.
Musim PkP melanda kali ketiga ini, ketika masjid surau tidak lagi dibenar kan dikunjungi, tinggal ruang tamu rumah tempat untuk azan, iqamah, ta’lim, tazkirah dan berjemaah. Suasana yang paling tenang adalah ketika usai solat subuh berjemaah bersama keluarga, selepas berIstighfar sesekali disulam wirid taubat..
“Tubna illallah: Kami bertaubat kepada Allah, Waraja'na illallah: Kami kembali kepada Allah. Wa nadimna ala ma faalna: Kami menyesal terhadap apa yang kami lakukan...”
ALLAHUAKBAR...
Ingatlah sahabat semua, tanda Islam nya kita ialah mendirikan solat lima waktu. Dan tanda berimannya kita, dalam solat, kita khusyu’ menghadap Nya. Cari lah kedua dua ini.
Wahai diri apakah selama ini kita menipu Allah yang kita sudah beriman sedang solat kita tidak menentu khusyu'nya?
Pernah dengar ustaz menyebut kata kata dari Nabi saw, pahala solat belum tentu kita dapat sepenuhnya. Ia amat bergantung kepada kualiti solat yang kita lakukan.
•Sesungguhnya seorang lelaki apabila selesai menunaikan solat, tidak ditulis pahala untuknya melainkan seper sepuluh, seper sembilan, seper lapan, seper tujuh, seper nam, seper Lima, seper empat , seper tiga atau seperdua
(Riwayat Imam Ahmad)
Kita pun tahu kualiti solat kita, tanyalah diri: "Wahai diri, berapalah bahagian pahala yang kamu dapat setiap kali solat dan sudah berapa terkumpul sepanjang bertahun hidup” Diri tidak boleh menipu kerana kita tahu solat jenis apa yang kita persembahkan pada Allah selama ini.
Kata ulama’: “ Khusyu’ itu tidak datang sendiri tetapi perlu diusahakan secara berterusan. Apabila dapat memilikinya, ia adalah lebih baik dari dapat memiliki seisi dunia”
Semoga kita termasuk dalam golongan orang yang peduli untuk memiliki khusyu’ ini.
Berapa banyak kita habiskan wang bagi meraih nikmat dunia? Berapa tahun kita membina kerjaya dengan pulang ke rumah hingga larut malam? Berapa jamkah waktu yang sudah kita habiskan untuk semua itu? Sesekali bertanyalah, Bilakah kali terakhir kita benar benar cuba berusaha serius untuk khusyu’? Kerana itu berbaloi lelah bangun dinihari, sambil berbusik pada Nya: “ Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Ya Allah, kasihilah aku, sayangil lah aku, aku hambamu ya Allah.”
Semoga berlakulah segerakkan atau synchronisation, air ikut bertasbih, apa yang di pijak juga bertasbih. Darah kita bertasbih serentak denyutan jantung tiada hentinya. Kini mulut kita sama menyebut “Allah”, maka bertasbihlah segala yang ada di sekeliling kita dalam rentak yang harmoni yang hanya dapat dirasakan oleh jiwa yang khusyu. Terutama di waktu dinihari sebegini.
Kita tidak tahu apakah ini adalah yang terakhir kerana nyawa kita ada dalam genggamanNya. Kata para assatizah, Sayyidina Abu Bakar akan menggigil badannya di saat ketika melangkah menuju solat, kita bagaiamana pula?
Tapi jangan putus asa dengan rahmat Nya, biar siapapun kita. Kalau kita datang dengan berjalan, Dia akan datang dengan berlari. Kini Dia sedang melihat dengan penuh rahmah walau pun kita tidak melihatNya. Inilah Khaleq yang tidak pernah bosan mendengar curahan hati hambaNya. Semakin kita rasa bergetar, semakin mencurah kasihNya.
*Akhir kalam..*
Tahniah subuh berjemaah seawal waktu bersama ahli masing masing, jadikan ruang tamu rumah sebagai ganti surau dan masjid.
Ya. Rabb. Tidak mampu melakukannya tanpa bantuan Mu. Berikanlah kami hati yang sentiasa mencintaiMu. Hati yang mencintai yang Engkau cintai. Hati yang menyayangi orang2 yang Engkau sayangi. Jangan biarkan kami sendiri walaupun sesaat tanpa bantuan Mu. Usah biarkan hati kami yang lemah ini dikotori oleh nafsu dan iblis sehingga terhijab doa dan rayuan kami kepadaMu..
Berkatilah yang membaca tulisan ini, moga mendapat kebaikan darinya.
Wallahu’alam
Barakallahufikum
Wassalam.
Pena pagi oleh: *NCS*
Comments
Post a Comment