Pkp345* - Ahlan Wa ...

 *Pkp345* - Ahlan Wa Sahlan ya Rejab. Sedikit cerita pasal puasa di bulan Rejab. 


Assalamu’alaikum...

Salam Rejab...


Dalam pada melayan pkp yang akan cukup setahun tak lama lagi, kita sekali lagi selamat tiba di Rejab. Bermakna tinggal lagi kurang 60 hari kita akan berada di bulan Ramadhan alMubarak. Maka, autonya kita masuk ke era berdoa: 


‎اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ


“Duhai Allah, berkahilah kami pada Rajab dan Sya’ban dan pertemukanlah kami dengan  Ramadlan.”


Bulan ke 7 dalam kalendar Islam ini termasuk sebagai antara bulan bulan haram dalam Islam yang berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam. Rejab terpisah dari  ‘rakan rakannya’.


Kata para assatizah merujuk pada ayat 36 Surah Taubah: “ALLAH memerintahkan, kita tidak menzalimi diri sendiri dan sesama manusia di bulan bulan haram. Umpamanya, peperangan ataupun apa sahaja yang menyakiti manusia, diharamkan”


Benar, kita diharamkan buat perbuatan zalim pada setiap masa. Cuma dalam empat bulan itu, peraturan lebih ketat berbanding bulan bulan selainnya. Sama samalah kita teruskan tradisi kita sebagai seorang muslim yang memang ada sifat husnulzon dan pada masa yang sama berhati hati juga. Sempena Rejab bulan Haram ini, hindari diri kita dari berbuat kejahatan dan banyakkanlah berbuat kebajikan kerana kedua duanya di gandakan. 


*Bab Puasa*


Benarkah tiada puasa sunat yang dikhususkan dalam bulan Rejab? Ramai ulamak dan cerdik pandai Islam mengiyakannya. Kebanyakan hadis  tentang puasa sunat Rejab bersifat dhaif dan palsu. Ibn Hajar al Asqalani  menyatakan, kelebihan amalan tertentu seperti solat, puasa atau zakat khusus pada bulan Rejab, hampir kebanyakannya adalah tidak “tsabit”. Walaupun tiada amal soleh dikhususkan pada bulan Rejab. Tapi, kita boleh melakukannya sebagai budaya menghidupkan bulan haram; samatelahan, pahala berganda, cuma jangan berkebajikan dalam Rejab bersandarkan mana mana hadis nabi.


 Jumhur ulama kalangan Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali, hukum berpuasa pada bulan Rejab adalah mustahab (sunat) seperti disunatkan berpuasa di bulan bulan haram yang lain.


Dalam satu bacaan, saya dapati, Mazhab Hanbali pada pandangan muktamad di sisi mereka, makruh hukumnya jika mengkhususkan puasa penuh pada bulan Rejab, mengelakkan sangkaan bahawa ia menyamai puasa Ramadan.


Namun,disebut dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah alKuwaitiyyah, kemakruhan akan hilang jika seseorang itu tidak berpuasa walau sehari dalam bulan tersebut atau turut berpuasa penuh pada bulan yang lain. Dalam saru bacaan lain, menurut Imam alNawawi di Kitab Majmu’ Syarh alMuhazzab: “Berkata ulama kami; Dan dari puasa yang disunatkan, adalah puasa bulan bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab, bulan yang paling utama adalah Muharam.”


Berdasarkan hujah, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah dan Pulau Pinang, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin memberi kesimpulan mudah, umat Islam boleh berpuasa penuh pada semua bulan bulan haram menurut pandangan majoriti ulama.


“Sebahagian ulama meletakkan syarat tertentu menghilangkan kemakruhan nya dan membezakan dengan bulan Ramadan,” 


Apa jua amalan soleh yang dilakukan di bulan Islam yang satu ini terselit hikmah yang begitu indah sekali.

Bayangkan ALLAH haramkan umat Islam melakukan kejahatan kepada diri sendiri dan masyarakat, Barangkali sepanjang bulanlain, kita seorang pendosa, tetapi sekurang kurang nya empat bulan bulan haram itu, kita bertekad untuk berhenti dari segala perilaku yang membawa kepada kejahatan. In shaa Allah. Atas usaha kita, Biiznillah. 


Rejab adalah bulan latihan umat Islam sebelum masuknya Ramadan. Kata ulama: Rejab ibarat kita menanam pokok, Syaaban pula ibarat menyiram tanaman dan letakkan baja. Ramadan pula bulan untuk kita menuai hasilnya.


Dalam pada itu, peringatan bagi diri dan semua, yang masih belum habis puasa ganti pada Ramadan tahun lalu, segeralah gantikannya. Rejab juga sebenarnya tanda peringatan kepada hutang hutang tersebut. Jika berniat puasa ganti digabungkan dengan puasa sunat, tiada masalah, pahala puasa sunat tetap juga akan diraih. 


*Akhir kalam*


Jjangan lupa beramal dengan doa yang saya sebutkan diawal tulisan ini, moga ALLAH, berkati kita semua di bulan Rejab dan mudah mudahan sempat untuk kita masuk ke bulan Ramadan. 


Tidak kiralah siapa pun kita  orang biasa ke, pemimpin ke, orang politik ke, bertuturlah dengan baik waima di media sosial sekalipun. Jangan ada  memfitnah, apatah lagi memburuk burukkan orang lain. Sebaliknya, setiap dari kita kena berusaha jadi agen keamanan yang membawa mesej Islam yang bermakna as Salam/sejahtera kepada semua manusia.


Pada masa yang sama, bersatu hatilah dalam memutuskan rantaian virus Covid 19 yang masih melanda seluruh dunia pada ketika ini. Insya ALLAH, usaha usaha ini mendapat keberkatan pada bulan haram ini.


Wallahu’alam 

Barakallahufikum 

Wassalam.


Written & Edited by: 

*NCS* @ Seriminang.

Comments

Popular posts from this blog