WA54 Rejab5 1442H - KEPENTINGAN USUL FIQH...

 KEPENTINGAN USUL FIQH: ADAKAH MENGAMALKAN HADIS BOLEH DIANGGAP MENGAMALKAN SUNNAH? 


Untuk menjawab persoalan ini, kita terlebih dahulu perlu memahami skop makna yang terdapat pada kalimah " hadis" dan juga "sunnah". 


Maksud Al-Hadis ialah:

Segala sesuatu yang bersumber daripada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sama ada perkataan, perbuatan, ketetapan, ciri-ciri tubuh badan, akhlak dan tingkah laku atau perjalanan hidup (sirah) beliau sama ada sebelum atau sesudah beliau diangkat menjadi Rasul.

 [Dr. Mustafa al-Siba'i, Al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri' al-Islami] 


Maksud sunnah:

Imam Ibn Manzur(rah) menjelaskan dalam karangannya ‘Lisanul ‘Arab’ (kamus yang paling terkenal dalam keilmuan Islam) bahawa, kalimah ‘sunnah’ yang disebut berulang-ulang dalam hadis, dari sudut bahasa ialah:

الطريقة والصراط

yang bererti cara dan jalan hidup. 


Beliau mengatakan, seseorang yang memulakan sebuah inisiatif baik yg dimulakannya lalu ia diikuti oleh orang selepasnya, ini bermakna dia telah memulakan Sunnah. (Lisan al-Arab) 


Mufti Abdul Wahid(Mudir Jami'ah Madinah) berkata, kesimpulan dari makna yang diberikan oleh Imam Ibnu al-Manzur, makna sunnah dari sudut syariat ialah:

الطريقة المسلوكة في الدين 

Iaitu cara yang dijalani dalam kehidupan beragama. 


Kemudian makna sunnah adalah berbeza menurut sesuatu bidang ilmu yang tertentu. 


Menurut ulama Hadis, perkataan ‘sunnah’ bermaksud: "Segala peninggalan Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam baik berupa perkataan, perbuatan, keputusan, mahupun sifat. 


Menurut kacamata Usul Fiqh pula, makna sunnah adalah segala sesuatu yang berasal dari Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam baik berupa perkataan, perbuatan, mahupun keputusan yang boleh dijadikan dalil suatu hukum syar’i.  


Jadi, para ulama Usul Fiqh tidak menganggap sifat Nabi itu sebagai sunnah dan mensyaratkan sunnah ialah sesuatu yang dapat dijadikan dalil hukum syar’i bukan yang lain. 


Sementara itu, sunnah menurut para ulama Fiqh ialah segala sesuatu yang jika dikerjakan mendapatkan pahala dan apabila ditinggalkan tidak berdosa. Atau juga dlm erti kata yg lain, segala sesuatu yang diperintahkan, tapi perintah tersebut tidak berbentuk absolute (wajib dikerjakan) 


Oleh kerana itu, pada zaman ini, kita perlu fahami dimanakah posisi kita dlm pengertian Sunnah. Contohnya, seandainya ada orang yang mengatakan: "Kita kena ikut al-Qur'an dan sunnah". Maka hendaklah diperhatikan pada konteks mana yang dimaksudkan dengan sunnah disitu. 


Apa yang berlaku pada masakini ialah kekeliruan yg berlaku apabila ajakan kembali kepada Sunnah, yang dimaksudkan adalah kembali kepada Hadis-hadis Sahih. 


Jika ia diucapkan untuk seluruh masyarakat awam, maka sudah tentu akan berlaku kepincangan ilmu kerana Sunnah yang merujuk kepada hadis adalah definisi khusus untuk para muhaddithin dan ulama usul fiqh sesuai dengan bidang mereka untuk mengkaji riwayah(periwayatan) dan dirayah(kefahaman hadis) serta ulama fiqh akan  membuat penggalian hukum melalui proses intinbat. 


Hal demikian tidak dimiliki kemampuannya oleh masyarakat awam kerana tiadanya ilmu alat ialah Ilmu Usul Fiqh disisi mereka. Ini bukan pula bermaksud untuk mengeksklusifkan ilmu hadis. 


Hatta pada zaman Sahabat Rasulullah SAW, jika hanya berpandu kepada al-Qur'an dan Hadis semata-mata sudah mencukupi, maka sudah pasti ramai sahabat boleh mengeluarkan fatwa berkenaan praktik ibadah, akan tetapi, hakikatnya adalah hanya segelintir para Sahabat Nabi yang berkelayakan untuk menggali hukum-hakam dari sumbernya. 


Mengheret masyarakat awam kepada definisi Sunnah yg digunapakai oleh para muhaddithin dan ulama usul fiqh dengan menggesa mereka untuk semak status hadis dan mencari dalil pada setiap gerak geri ibadah adalah sebenarnya meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. 


Istilah-istilah yang berada dalam ilmu hadis seperti sahih, hasan, dhaif, maudhu', mursal, marfu', musalsal, mu'an'anah, thiqat, sanad riwayat dll, adalah sesuatu yang tidak dapat menentukan hukum hakam dlm praktik agama. 


Ya, untuk masyarakat belajar ilmu hadis sudah tentu sentiasa terbuka agar diperdengarkan hadis-hadis kepada mereka supaya mendapat cahaya keberkatan darinya. Namun, jangan sampai mereka terhalang dari ilmu yang wajib dan fardu ain iaitu ilmu fiqh. Perlu diingatkan disini bahawa mempelajari ilmu hadis adalah merupakan fardu kifayah. Maka secara prinsip, mempelajari ilmu Fiqh adalah lebih mendesak dalam hal pengamalan agama. 


Sekiranya seseorang mengamalkan agama dan beribadah sepanjang hayatnya dlm keadaan dia tidak tahu dalil atau status hadis dari mana amalannya itu, contohnya basuh kepala 3 kali ketika berwudhu, apakah hadisnya, riwayat dari siapa, ianya hadis sahih atau hasan dan seterusnya, maka, tidak mengetahui hal-hal tersebut TIDAK akan mencacatkan sedikit pun mutu ibadahnya. Dan tidak akan ditanya di akhirat akan hal-hal tersebut. 


Definisi sunnah yg tepat untuk masyarakat ialah "cara hidup dalam agama" sepertimana yg telah di rumuskan oleh para ulama fiqh melalui penentuan hukum hakam agama dari al-Qur'an, Hadis, Ijma' dan qiyas. 


Ini adalah kerana ilmu fiqh-lah yang berinteraksi langsung dengan praktik agama dikalangan masyarakat. Dengan pengertian ini, hendaklah difahami dengan baik bahawa seseorang yg mengamalkan sunnah, pasti dlm masa yg sama dia mengamalkan hadis. 


TETAPI seseorang yg mengamalkan hadis, tidak semestinya dia mengamalkan sunnah. Contohnya dlm hadis sahih menyebutkan Rasulullah SAW kencing berdiri, jika ada seseorang yg mengamalkannya, ia bukanlah sunnah. Ini adalah kerana pengamalan sunnah bukan sekadar "ada hadis sahih", tapi ianya adalah rumusan ulama yg mendalam untuk menentukan sesebuah hukum. 


Perumpamaannya adalah seperti seseorang yang ingin mengetahui ukuran segitiga. Ianya memerlukan formula untuk mengiranya iaitu teorem pitagoras. Lalu dgn formula tersebut, seseorang dapat kunci bagaimana untuk mengukur segitiga iaitu mengenalpasti yg mana satu hipotenus('illat), dan dgn itu barulah dapat dirumuskan ukurannya dan kemudian akan diperolehi hasil kiraannya. 


Demikianlah perumpamaan untuk praktik agama, kerja penggalian hukum yg rumit dilakukan oleh ahlinya iaitu para fuqaha kerana mereka mempunyai rumusan dan formula bagaimana untuk mengenalpasti illat(kunci hukum) dan berijtihad mengeluarkan hukum hakam syariat dgn terperinci. Lalu ia dihidangkan kpd masyarakat tersedia untuk diamalkan. 


Perlu ditekankan disini bahawa setiap formula yg digunakan oleh fuqaha' adalah berasal dari Al-Quran, hadis dan ijma' manakala qiyas adalah bertindak sebagai penzahir hukum hakam yg tertentu. Praktik hukum hakam agama inilah yang disebut sebagai "Sunnah". 


Sebagai penutup, ingin saya tegaskan disini bahawa tidak ada masalah untuk masyarakat ingin mengetahui dalil hadis untuk amalan yang mereka lakukan untuk menenangkan jiwa yang meronta inginkan kepastian. Namun dalam masa yang sama, hendaklah diingatkan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah memerintahkan umatnya untuk mencari dalil untuk setiap amal ibadah yang dilakukan. 


Ya, dlm aqidah, masyarakat tidak cukup memadai dengan mengikut2 saja kerana usaha mencari dalil untuk memantapkan Tawhid adalah wajib. Namun yang demikian juga, dalil pengetahuannya bukan terletak pada ilmu hadis, akan tetapi, ilmunya bernama Ilmu Aqidah. 


~ Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari

Comments

Popular posts from this blog