WA138 - SURAH FAATHIR AYAT 18
MUTIARA DARI AL QURAAN
SURAH FAATHIR AYAT 18
Mafhumnya :
DAN ORANG YANG BERDOSA TIDAK AKAN MEMIKUL DOSA ORANG LAIN, DAN JIKA IA MEMANGGIL SESEORANG YANG BERAT DOSANYA UNTUK MEMIKUL DOSANYA NESCAYA TIDAK AKAN DIPIKUL SEDIKIT PUN WALAUPUN YANG DIPANGGIL ITU KAUM KERABATNYA.
SESUNGGUHNYA YANG ENGKAU DAPAT BERI PERINGATAN HANYALAH ORANG YANG TAKUT KEPADA TUHANNYA WALAUPUN MEREKA TIDAK MELIHATNYA DAN MEREKA YANG MENGERJAKAN SOLAT. BARANG SIAPA MENYUCIKAN DIRINYA, SESUNGGUHNYA DIA MENYUCIKAN DIRINYA SENDIRI, DAN KEPADA ALLAHLAH TEMPAT KEMBALI.
*******************************
DI DUNIA kita dapat meminta pertolongan orang lain untuk membantu kita apabila di dalam kepayahan dan kesusahan, tetapi di Akhirat nanti tidak ada siapapun yang dapat menolong kita walaupun ia daripada kaum kerabat kita sendiri. Dosa yang kita bawa hasil dari perbuatan jahat kita di dunia akan ditanggung sendiri oleh kita. Tidak ada siapa yang akan membantu kita. Setiap orang sibuk dengan hal masing-masing. Setiap diri datang untuk menerima habuan masing-masing samaada balasan yang berupa nikmat atau azab, setimpal dengan perbuatan atau amalan sewaktu di dunia dahulu.
Kita tidak memikul dosa orang lain tetapi kita tidak akan terlepas daripada menerima dan menanggung dosa orang lain akibat daripada perbuatan kita atau kecuaian kita. Umpama dosa anak isteri kita serta yang di bawah tanggungan kita yang mana mereka ini melakukan kesalahan terhadap Allah, sedangkan kita hanya menjadi bapa atau suami yang DAYUS, yang membiarkan sahaja. Seperti membiarkan sahaja anak dan isteri tidak menutup aurat, tidak solat, tidak menjaga hubungan dan pergaulan dengan yang bukan mahram dan banyak lagi. Jika kita sebagai bapa atau suami tidak mendidik dan memerintahkan supaya anak dan isteri untuk taat kepada hukum dan perintah Allah maka kelak di Akhirat akan menanggung dosa akibat perbuatan dosa mereka. Lain dari memikul dosa orang lain, yang ini berkongsi dosa yang orang lain lakukan kerana kita ada saham yang melayakkan kita berkongsi sama habuan dari dosanya.
Di Akhirat kelak samada kita akan berkongsi pahala atau dosa dengan orang lain. Jika kita menunjukkan sesuatu kebaikan maka orang mengamalkannya maka kita akan berkongsi pahala seperti mana yang diperolehi oleh orang yang melakukannya. Begitu juga sebaliknya kita akan berkongsi dosa yang diperolehi oleh yang melakukannya jika asbab perlakuannya ada kaitannya dengan kita.
Oleh yang demikian janganlah menjadi bapa atau suami yang DAYUS, yang membiarkan anak dan isteri mendedahkan aurat kerana ORANG YANG DAYUS TIDAK AKAN MASUK SYURGA. Apabila kaki melangkah untuk masuk Syurga, maka datang anak dan isteri menahan seraya menuntut kepada Allah, "Ya Allah, kami jadi penghuni Neraka kerana lelaki ini, bapa/suami kami tidak melarang kami mendedahkan aurat serta bergaul bebas dengan yang bukan mahram kami dan hanya membiarkan sahaja kami melanggari perintahMu. Masukkanlah dia ke dalam Neraka bersama kami. Nauzubillahi min zaalik.
Comments
Post a Comment