Sehari Satu Mukasurat Al Quran
Isnin 10 Muharam 1444 (10_1_1444)/8 Aug 2022. AL-AHZAB (Golongan2) Juzu' 21/Surah 33: 73 Ayat (Diturunkan di Makkah)
MS425
#337.2021
Rencana Menarik...
KEMUNGKARAN BERLELUASA KERANA DIAMNYA ORANG BAIK
Kita boleh lihat sekarang di akhir zaman ini terlalu banyak kemungkaran yang berleluasa, kadang perkara yang kita tak terfikir pun masih ada orang yang sanggup lakukan.
Maka AMANAH untuk mengajak kepada perkara makruf dan mencegah kemungkaran itu perlu dipikul oleh SETIAP MUSLIM, iaitu kita semua, walaupun kita bukan seorang ustaz atau ustazah.
Firman Allah SWT:
كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللّٰهِ ۗ وَلَوْ اٰمَنَ اَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ ۗ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُوْنَ وَاَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُوْنَ
Maksudnya: “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh kepada yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik.”
(Surah Ali-Imran 3: 110)
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
Maksudnya: "Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman."
(HR Muslim, hadis sahih)
Tuan Puan,
Adakah semua ini akan berakhir? Jawapannya tidak, bahkan keadaan akan bertambah dahsyat sehingga menghampiri kiamat nanti. Namun, itu bukan bermaksud kita perlu berhenti dalam usaha dakwah ini, kerana dengan usaha ini Allah akan kurniakan kita Syurga-Nya, insyaAllah.
Ramai orang boleh buat amar makruf, menyuruh kepada kebaikan, kerana mendapat pujian orang ramai. Namun, golongan semakin sedikit ialah nahi mungkar, kerana apabila mencegah kemungkaran, kita akan menambah musuh, menimbulkan kemarahan dan kebencian golongan tertentu, dilabel orang yang suka menghukum, dll.
Itulah tipu daya yang berlaku ke atas orang Islam sekarang. Syaitan menghasut supaya kita rasa belum cukup baik, belum layak untuk mencegah kemungkaran dan akhirnya kita pilih untuk BERDIAM kerana lebih selamat. Allahu Akbar.
Sungguh, kejahatan di akhir zaman ini berleluasa bukan kerana tak ramai orang baik. Sebenarnya sangat ramai orang baik tetapi mereka pilih untuk butakan mata, tulikan telinga dan bisukan mulut daripada mencegah kemungkaran.
Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي، ثُمَّ يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا، ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوا، إِلَّا يُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ
Maksudnya: “Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab.”
(HR Abu Daud, hadis sahih)
Sebab itu Allah SWT sebutkan di dalam ayat tadi, “menyuruh kepada yang makruf (kebaikan) DAN mencegah perkara mungkar (maksiat)”, bermaksud dua perkara ini mesti seiring.
Apabila para sahabat melihat kemungkaran, mereka akan tentang dengan tegas, keras dan segera kerana jika dibiarkan maka ia akan berakar dengan kuat sehingga susah untuk ditebang kemungkaran tersebut.
Lakukanlah amar makruf dan nahi mungkar ini mengikut kemampuan kita namun masih dengan usaha yang bersungguh. Mari kita sama-sama perbaiki diri dan dalam masa yang sama mengajak juga yang lain pada kebaikan serta menegur kesalahan yang dimurkai Allah dan Rasulullah SAW.
Sahabat, kerja ini tidak mudah tetapi pengakhirannya pasti indah, kerana ganjarannya ialah Syurga yang dilimpahi sakinah dan rahmah. Semoga peringatan kasih sayang ini dapat kita amalkan dan menjadikan hidup kita lebih berkah.
Asma’ binti Harun
#UAHSahabatDuniaAkhirat
Comments
Post a Comment